info dan hiburan

Facebook
RSS

MOTIVASI : Antara Ilmu dan Harta...

-
Dang Rohani



Suatu hari semasa Khalifah Ali sedang memberi syarahan dalam sebuah majlis ilmu, datang 10 orang lelaki yang hendak menguji kehebatan ilmunya.


“Wahai Ali, benarkah Rasulullah berkata; Saya adalah kota ilmu dan Ali adalah pintunya?” Tanya salah seorang daripada lelaki itu.

“Memang benar……,” jawab Khalifah Ali bin Abi Talib.

Lelaki pertama bertanya, “Wahai Ali, manakah yang lebih baik antara ilmu dengan harta?”. “Sudah tentu ilmu itu lebih baik daripada harta,” jawab Sayyidina Ali.

“Apa dalilnya, wahai Ali?” tanya lelaki itu lagi. “Wahai saudaraku, ilmu itu adalah warisan para nabi dan rasul. Harta itu warisan Qarun” jawab Sayyidina Ali.

Lelaki kedua pula bertanya, “Wahai Ali, manakah lebih baik antara ilmu dengan harta?”. “Tentulah ilmu itu yang lebih baik daripada harta,” jawab Sayyidina Ali, tanpa menunjukkan rasa marah.

“Apa dalilnya?” tanya lelaki ke-dua itu lagi. “Wahai saudaraku, ilmu itu menjaga kamu tetapi harta itu kamu yang menjaganya,” jawab Sayyidina Ali.

Lelaki ke-tiga pula bertanya, “Wahai Ali, manakah yang lebih baik antara harta dengan ilmu?”. Maka dijawab oleh Sayyidina Ali, “Wahai saudaraku, orang yang mempunyai banyak harta akan mempunyai ramai musuh. Tetapi orang yang berilmu mendapat ramai kawan,"

Lelaki keempat juga bertanya soalan yang sama. Jawapan Sayyidina Ali, “Wahai saudaraku, harta apabila ia dibelanjakan maka ia akan berkurang, sedangkan ilmu, jika ia diamalkan semakin bertambah."

Lelaki kelima juga bertanyakan soalan yang sama. Maka dijawab oleh Sayyidina Ali, “Wahai saudaraku, orang yang banyak harta biasanya kedekut dan tidak dihormati. Mereka yang banyak ilmu pemurah dan dihormati."

Lelaki keenam pula bertanya soalan yg sama, lalu dijawab oleh Sayyidina Ali, “Pemilik harta akan dihisab pada hari kiamat. Ilmu pula akan memberi syafaat kepadanya pada hari kiamat.”

Sayyidina Ali memandang ke arah lelaki yang ketujuh lalu berkata, “Harta menjadikan pemiliknya keras hati, tetapi ilmu menjadikan pemiliknya terang hati."

Kepada lelaki kelapan Sayyidina Ali berkata, “Harta semakin lama disimpan ia semakin usang; tetapi ilmu tidak usang dan tidak lapuk.”

Kemudian Sayyidina Ali terus berkata, “Pemilik harta akan berkata harta itu milik dia. Pemilik ilmu pula berkata ilmu itu milik Allah.”

Akhirnya 10 orang lelaki yang hendak menduga ilmu Amirul Mukminin Sayyidina Ali bin Abi Talib beredar. Orang ramai berasa kagum kerana Sayyidina Ali dapat memberikan banyak jawapan untuk hanya satu soalan.

”Sekiranya 100 orang yang datang bertanya satu soalan yang sama, aku boleh memberi 100 jawapan yang berbeza,” kata Khalifah Ali bin Abi Talib.

Leave a Reply

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

    Stats & Counter

    Blogupp

    review http://dangrohani.blogspot.com/ on alexa.com

    info

    Metro beritaharian NST utusan

    Buku Tamu